KELEBIHAN DAN FADHILAT TARAWIH

Monday, August 16, 2010


Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan: Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang dilakukannya sebelum itu.

Diriwayatkan oleh Saiyidina Ali (r.a.) daripada Rasulullah S.A.W., sebagai jawapan dari pertanyaan sahabat-sahabat Nabi S.A.W. tentang fadhilat (kelebihan) sembahyang sunat terawih pada bulan Ramadan:

1. Kelebihan Solat Tarawih Malam Pertama
Diampuni dosa orang-orang yang beriman sebagaimana keadaannya baru dilahirkan.
 

2. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kedua
Diampunkan dosa orang-orang yang beriman yang mengerjakan solat Tarawih, serta dosa-dosa kedua ibubapanya.
 

3. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketiga
Para malaikat di bawah 'Arasy menyeru kepada manusia yang mengerjakan solat Tarawih itu agar meneruskan solatnya pada malam-malam yang lain, semoga Allah akan mengampunkan dosa-dosa mereka.
 

4. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempat
Orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih akan memperolehi pahala sebagaimana pahala yang diperolehi oleh orang-orang yang membaca kitab-kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.
 

5. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelima
Allah SWT akan mengurniakan pahala seumpama pahala orang-orang yang mengerjakan sembahyang di Masjidil Haram, Masjidil Madinah dan Masjidil Aqsa.
 

6. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenam
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seumpama pahala malaikat-malaikat yang bertawaf di Baitul Makmur serta setiap batu dan tanah berdoa untuk keampunan orang-orang yang mengerjakan tarawih malam itu.
 

7. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuh
Seolah-olah ia dapat bertemu dengan Nabi Musa a.s serta menolong Nabi itu menentang musuhnya Fir’aun dan Hamman.
 

8. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapan
Allah S.W.T mengurniakan pahala orang yang bersolat tarawih sebagaimana pahala yang dikurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s.
 

9. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hamba-Nya seperti Nabi Muhammad s.a.w.
 

10. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesepuluh
Allah SWT mengurniakan kepadanya kebaikan dunia dan akhirat.
 

11. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesebelas
Ia meninggal dunia di dalam keadaan bersih dari dosa seperti baru dilahirkan.
 

12. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduabelas
Ia akan dibangkitkan pada hari kiamat dengan muka yang bercahaya-cahaya.
 

13. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigabelas
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman sentosa dari sebarang kejahatan dan keburukan.
 

14. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keempatbelas
Malaikat-malaikat akan datang menyaksikan mereka bersolat Tarawih serta Allah S.W.T. tidak akan menyesatkan mereka.
 

15. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelimabelas
Semua malaikat yang memikul ‘Arasy dan Kursi akan berselawat dan mendoakannya supaya Allah mengampunkannya.
 

16. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keenambelas
Allah S.W.T. menuliskan baginya dari kalangan mereka yang terlepas dari api neraka dan dimasukkan ke dalam syurga.
 

17. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketujuhbelas
Allah S.W.T menuliskan baginya pahala pada malam ini sebanyak pahala Nabi-Nabi.
 

18. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kelapanbelas
Malaikat akan menyeru: Wahai hamba Allah sesungguhnya Allah telah redha denganmu dan dengan kedua ibu bapamu (yang masih hidup atau yang sudah mati).
 

19. Kelebihan Solat Tarawih Malam Kesembilanbelas
Allah S.W.T akan meninggikan darjatnya di dalam Syurga Firdaus.
 

20. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh
Allah S.W.T mengurniakan kepadanya pahala sekelian orang yang mati syahid dan orang-orang soleh.
 

21. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh satu
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah mahligai di dalam syurga yang diperbuat dari cahaya.
 

22. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh dua
Ia akan datang pada hari kiamat di dalam keadaan aman dari sebarang huru-hara pada hari tersebut.
 

23. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tiga
Allah S.W.T akan membina untuknya sebuah bandar di dalam syurga daripada cahaya.
 

24. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh empat
Allah S.W.T akan membuka peluang untuk dua puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
 

25. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lima
Allah S.W.T akan mengangkat seksa kubur darinya.
 

26. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh enam
Allah S.W.T akan mengurniakan pahala empat puluh tahun ibadat bagi orang-orang yang mengerjakan solat Tarawih pada malam tersebut.
 

27. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh tujuh
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya kemudahan untuk melintasi titian sirat sepantas kilat.
 

28. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh lapan
Allah S.W.T akan menaikkan kedudukannya seribu darjat di akhirat.
 

29. Kelebihan Solat Tarawih Malam Keduapuluh sembilan
Allah S.W.T akan mengurniakan kepadanya pahala seribu haji yang mabrur.
 

30. Kelebihan Solat Tarawih Malam Ketigapuluh
Allah S.W.T akan memberi penghormatan kepada orang yang bertarawih pada malam terakhir dengan firman-Nya (yang bermaksud): Wahai hambaku!, makanlah segala jenis buah-buahan yang Engkau ingini untuk dimakan di dalam syurga dan mandilah kamu di dalam sungai yang bernama salsabil serta minumlah air dari telaga yang dikurniakan kepada Nabi Muhammad s.a.w. yang bernama Al-Kautsar

MALAM AL-QADR (LAILATUL QADR)

Sunday, August 8, 2010


"…(iaitu) ada pada bulan Ramadhan.  Kerana itu, hendaklah kamu mencarinya pada sepuluh hari terakhir.  Kerana ia terdapat pada hari-hari ganjil, iaitu pada malam 21, atau malam 23, atau  malam 25, atau malam 27, atau malam 29, atau malam terakhir." - HR Ahmad          

Lailatul Qadar adalah satu malam istimewa yang dikurniakan kepada umat Muhammad SAW lantaran kebimbangan Baginda terhadap usia umatnya yang semakin pendek.  Bagi mengatasi keraguan ini, maka Allah SWT menurunkan malam Lailatul Qadar yang membawa pahala seperti beribadat selama 83 tahun.  Ini bagi menyamakan jarak masa umat terdahulu dengan umat Baginda pada hari ini dalam mengerja dan mendapatkan pahala beribadat.  

Suatu masa Baginda hendak memberitahu kaumnya mengenai tarikh Lailatul Qadar yang tepat tetapi terjadi satu pergaduhan di antara dua orang muslim.  Jelas Baginda, maka itu rahmat (tarikh Lailatul Qadar) telah diambil kembali. Sesungguhnya perbalahan kerapkali menyebabkan kita kehilangan nikmat dan rahmat.  Justeru, Baginda menyarankan kepada kaum muslimin agar menghubungkan silaturrahim kerana ia adalah amalan yang lebih baik daripada solat, puasa dan sedekah.  Silaturrahim juga akan meningkatkan iman di dalam sesuatu kaum.

Pada zaman Rasulullah SAW, ramai ulama dan sahabat menyambut Lailatul Qadar dengan tekun mengerjakan ibadat.  Rasulullah SAW sendiri tidak pernah leka dalam hal ini walaupun Baginda telah dijanjikan tempat di sisi-Nya.  Malahan Baginda khusyuk beribadat sehingga kakinya bengkak tanpa memikirkan kesakitan yang ditanggung.

Kita sebagai umatnya juga harus mengikuti contoh ini.  Tidak sepatutnya kita memilih untuk mengikuti sunnah Baginda yang dirasakan mendatangkan faedah yang besar kepada kita sahaja kerana sememangnya semua sunnah Nabi memberi faedah.  Namun, apabila memperkatakan hal ibadat, jarang sekali kita mahu mencontohinya. Bak kata pepatah tepuk dada, tanya selera.

Perbanyakkanlah amalan pada Malam Lailatul Qadar seperti membaca Al-Quran, bertasbih dan bertahmid.  Dan ia sesungguhnya boleh ditemui jika kita dapat membezakan malam tersebut dengan malam-malam sebelumnya. 

Rasulullah SAW telah menjelaskan di antara tanda-tanda Lailatul Qadar ialah:
·         Malam yang sepi, tenang dan bercahaya;
·         Tidak panas atau sejuk (sederhana) seolah bulan memancar terang;
·         Tiada petir atau kilat sabung menyabung sehingga subuh;
·         Pada paginya matahari akan timbul tanpa pancaran cahaya, seperti bulan mengambang

Tanda ini amat jarang ditemui, kecuali tanda terakhir yang pernah terjadi.  Andai bertemu dengan malam ini, maka ucapkanlah doa berikut yang bermaksud:

"Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang mengurniakan keampunan terhadap dosaku.  Dikau suka mengampun, maka ampunilah daku."

Pada malam ini juga Jibrail a.s akan turun ke bumi dan mengarahkan setiap malaikat berkunjung, memberi salam dan berjabat tangan dengan mukmin yang sedang beribadat di rumah mereka.  Namun malaikat-malaikat ini tidak akan mendatangi mana-mana rumah yang di dalamnya ada haiwan-haiwan peliharaan yang haram, penzina, juga rumah yang di dalamnya tergantung perhiasan atau gambar haiwan dan manusia.  Justeru, awasilah perlakuan kita dan sentiasalah berusaha meningkatkan iman, terutamanya dalam Ramadhan ini. Semoga bersua dengan Lailatul Qadar dan wassalam.

BERBUKA PUASA

Thursday, August 5, 2010

"Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam berbuka." -HR Bukhari Muslim

Tiada yang lebih dinantikan selama waktu berpuasa sepanjang siang melainkan waktu berbuka puasa.  Apabila tiba Maghrib, maka muslimin yang berpuasa disunatkan agar menyegerakan berbuka lantaran ganjaran pahala yang lebih banyak daripada mereka yang menunda waktu berbuka.Rasulullah SAW juga menyeru umatnya agar tidak tergesa-gesa ketika berbuka puasa.  Makanlah dengan sewajarnya namun janganlah pula sehingga habis waktu untuk menunaikan solat Maghrib.  

Ini sejajar dengan sabda Baginda yang bermaksud: 

Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan daripada solat Maghrib dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan malam kamu."  -HR Bukhari Muslim

Mendahului berbuka dengan memperbanyakkan doa adalah suatu yang dituntut kerana Allah SWT telah berjanji akan mengabulkan doa mereka yang berpuasa.  Sebaiknya hendaklah doa yang meminta supaya diampunkan segala dosa yang pernah dilakukan pada masa lalu.  Doa ini bukan sahaja dituntut ketika hendak berbuka puasa wajib tetapi juga ketika berpuasa sunat.

Terdapat beberapa doa pilihan yang boleh dijadikan pedoman ketika berbuka, iaitu:·

-         "Allahumma laka shumtu wa 'alaa rizqika afthartu."
(Ya Allah, demi Engkau, aku puasa dan dengan rezeki-Mu aku berbuka)

-         "Alhamdulillahiladzi a'aanani fashumtu wa razaqani fa afthartu." 
(Segala puji bagi Allah, tuhan yang menolongku, sehingga aku (sanggup) berpuasa dan memberiku rezeki, sehingga aku (dapat) berbuka)

-         "Allahumma laka shumnaa wa 'alaa rizqika aftharnaa, fa taqabbal minnaa innaka antas samiiul 'aliim."
(Ya Allah, demi Engkau kami berpuasa dan dengan rezeki-Mu kami berbuka, maka terimalah (puasa) dari kami.  Sesungguhnya Engkau benar-benar Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui)

-         "Allahumma inni as 'aluka bi rahmatikallati wasi'at kulla syai'in antaghfiralii." 
(Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada-Mu dengan rahmat-Mu yang luasnya meliputi segenap (makhluk) agar Engkau mengampuni diriku)

Walau bagaimanapun, menurut Imam Nawawi dalam Kitab Al-Azkar, doa-doa berbuka puasa tiada yang sahih.  Rasulullah  SAW bersabda bahawa setiap individu boleh berdoa apa sahaja sesuai dengan keinginan mereka.  Namun sebagai manusia biasa, adakalanya doa yang dipanjatkan tidak dimakbulkan Allah SWT.  Jika hal ini berlaku maka kita hendaklah mengkaji di mana kesilapan kita.  Mungkin juga makanan atau minuman yang kita ambil datang daripada sumber yang tidak sah kerana salah satu syarat supaya doa kita dimakbulkan ialah sumber makanan kita haruslah daripada sumber yang halal.
    
Bukan sahaja dari segi makan minum harian, malah kita sepatutnya lebih teliti dalam melakukan dan memperkatakan apa jua perkara, termasuklah dalam urusan yang kita anggap sebagai kecil dan remeh-temeh.  Masalah tidak akan  timbul jika kita menyelesaikan perkara yang kecil terlebih dahulu sebelum
ianya menjadi lebih besar.

Selamat berbuka dan wassalam.

KELEBIHAN BERSAHUR

“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.”  -HR Bukhari dan Muslim

Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan  diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan.  Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa.  Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur.  Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa. 

Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka?  Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur.  Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.

Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda.  Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.

Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:

·        Menuruti sunnah;
·        Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;
·        Menambah kekuatan untuk beribadat;
·        Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;
·        Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan
·        Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.

Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar.  Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran. 

Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW:  Sebaik-baik makanan sahur bagi
orang mukmin adalah kurma.”
-HR Ibnu Hibban & Baihaqi


     Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut. Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh.  Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.
   
Selamat bersahur dan wassalam.

TUNTUTAN RAMADHAN

Wednesday, August 4, 2010

"Wahai orang-orang yang beriman, telah wajib  ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah  diwajibkan ke atas umat-umat sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang yang bertakwa." - Surah Al Baqarah: 183
 
Ramadhan adalah bulan yang amat bermakna  bagi mereka yang tahu menilai dan menghargai kelebihannya. Ramadhan merupakan masa untuk menguji tahap kesabaran, waktu menunjukkan simpati kepada yang memerlukan ihsan, juga bulan mulia untuk menambah ibadat dan amalan.
 
Rasulullah SAW telah menggariskan empat amalan utama yang digalakkan dalam bulan ini iaitu;

1. Melazimkan bacaan kalimah taiyibah;
2. Beristighfar;
3. Memohon memasuki jannah dan
4. Berlindung dengan-Nya daripada neraka jahannam.

Rasulullah SAW telah menggesa para sahabat untuk menjadikan keempat-empat perkara ini sebagai suatu amalan.  Abu Saeed Khudri r.a meriwayatkan bahawa: 
 
"Suatu ketika Nabi Musa AS memohon kepada Allah SWT agar diberikan satu kalimat khas yang mana Baginda dapat mengingati Allah SWT dan dapat memohon sesuatu melaluinya.  Lantas Allah SWT menyuruhnya menyebut kalimah tersebut.  Nabi Musa AS berkata:  "Wahai Allah, kalimah ini dibaca oleh semua hamba-Mu, aku mengkehendaki yang khusus."  Lalu Allah SWT menjawab, "Wahai Musa, jika ketujuh-tujuh langit dan bumi dan semua yang terkandung di dalamnya kecuali Aku diletakkan ke atas sebelah dacing dan kalimah ini pada sebelah yang lain, kalimah ini lebih berat  lagi daripada segala sesuatu."
 
Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan bahawa jika seseorang menyebut kalimah taiyibah ini, iaitu "laa ilaha illallah" dengan seikhlas hati, maka pintu syurga akan segera terbuka untuknya.
 
Kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan istighfar kerana Allah SWT telah berjanji akan memberi kita jalan keluar daripada segala kesukaran dan membebaskan kita daripada segala kesedihan. Malahan sesiapa yang memperbanyakkan istighfar akan memperolehi rezeki daripada sumber yang tidak pernah disangkakan.  Kalimah istighfar yang mudah disebut adalah seperti "astaghfirullah".  Tidak ada batasan dalam mengulang sebutan istighfar ini.  Semakin kerap ia diulang, semakin banyaklah pahala yang dikumpul.
 
Di samping itu, kita turut dituntut agar sentiasa berdoa supaya ditempatkan di dalam syurga sambil meminta kepada Yang Maha Esa menjauhkan kita daripada ancaman api neraka.  Doa yang boleh diamalkan untuk memohon agar ditempatkan di dalam syurga ialah seperti berikut:

"Allahhumma as'alukal jannata wa a'uzubika minannar."
 
Dengan memperbanyakkan amalan di atas, maka akan bertambah banyaklah amal ibadah yang kita lakukan untuk memenuhi bulan Ramadhan ini.  Ramadhanlah masanya yang paling sesuai untuk memperbanyakkan ibadah lantaran tiadanya gangguan godaan daripada iblis dan syaitan.
 
Justeru, sebagai umat yang sentiasa mendambakan kasih sayang-Nya, perhatian dan ganjaran-ganjaran yang telah dijanjikan-Nya, maka layaklah kita sebagai hamba-Nya merebut peluang ini yang datang hanya sekali dalam setahun.  Jika kita sanggup berhabis wang ringgit semata-mata untuk tujuan kecantikan
dan hiburan, maka Allah SWT memberi peluang untuk kita berkunjung ke syurga-Nya secara percuma.  Tidak perlukan bayaran, hanya sedikit masa dan keikhlasan.  Masih enggankah lagi kita menerima tawaran ini?  Fikirkan.
   
Selamat beribadat dan wassalam.

RAMADHAN AL-MUBARAQ

"Marilah Berpuasa dengan Penuh Rasa Kehambaan"

Berpuasa pada bulan Ramadhan dan berpuasa sebanyak tiga hari pada setiap bulan akan menjauhkan fikiran jahat daripada hati dan membersihkannya."

Ramadhan menjenguk lagi. Dan sedari awal kedatangannya memang dinanti. Inilah masa yang paling sesuai untuk merebut ganjaran pahala yang berlipat kali ganda tanpa diganggu-gugat oleh syaitan dan iblis, hanya nafsu yang perlu dikawal. Setiap individu mempunyai cara yang tersendiri menyambut Ramadhan. Ada juga mukmin yang memulakan sambutan puasa dengan berpuasa sunat. 

Sebagaimana sabda Rasulullah SAW
yang bermaksud:
 
"Janganlah kamu mendahului Ramadhan dengan berpuasa sehari atau dua hari sebelumnya, kecuali seseorang yang telah membiasakan diri berpuasa sunat, maka ia dibolehkan berpuasa." - HR Tujuh Ahli Hadith

Puasa Ramadhan tidak boleh dimulakan dengan berpuasa sunat atas alasan ingin menyambut ketibaan Ramadhan. Namun, jika seseorang individu itu telah biasa dan memang mengamalkan berpuasa sunat di dalam hidupnya, maka individu ini tidak ditegah untuk berpuasa sunat walaupun puasa sunat yang dilakukannya adalah pada sehari atau dua hari sebelum kedatangan Ramadhan. Malahan, hal seperti ini dibolehkan di dalam Islam. Misalnya, jika seseorang itu telah biasa berpuasa sunat pada setiap hari Isnin dan Ramadhan pada tahun itu jatuh pada hari Selasa, maka individu itu dibolehkan meneruskan puasa sunatnya sebagaimana lazimnya.

Namun jika individu itu sengaja melakukan puasa sunat sedangkan itu bukanlah kebiasaan amalannya, maka puasa seperti ini adalah diharamkan kerana ia dikatakan sebagai mendahului ibadat puasa Ramadhan. Walaupun ada segolongan individu yang berpendapat puasa seperti ini sebagai satu penghormatan untuk menyambut ketibaan Ramadhan tetapi  Rasulullah SAW sendiri menidakkan dalil yang sebegini dan menegah sama sekali amalannya.

Terdapat segelintir golongan bukan Islam yang berpendapat ibadat puasa ini tidak lain daripada meletih dan menyeksakan lantaran pantang larang yang perlu dipatuhi, namun pendapat-pendapat sebegini mula terhakis berikutan penemuan dan kajian yang  dijalankan menunjukkan bahawa puasa adalah satu amalan yang baik bagi menjamin tahap kesihatan mental dan fizikal secara keseluruhannya.

Di samping menerangkan kepada mereka tentang konsep sebenar ibadat dalam Islam, kita sentiasa digalakkan untuk memperbaiki dan menambah amalan dari semada ke semasa terutamanya di dalam bulan Ramadhan ini. Ibadat utama dalam Ramadhan ialah untuk mengerjakan puasa.
 
"Barangsiapa tidak membulatkan niatnya berpuasa sebelum fajar (subuh), maka tidak ada puasa baginya." - HR Ahmad & Ashabus Sunan

Awal puasa ialah berniat untuk mengerjakan ibadat tersebut.

Niat puasa terbahagi kepada dua iaitu:

Berniat setiap malam sebelum datangnya waktu Subuh -  seseorang yang berkeinginan untuk berpuasa, wajib menyatakan niatnya; Berniat pada awal bulan Ramadhan sebelum datangnya waktu Subuh - seseorang yang ingin berpuasa pada bulan tersebut, wajib menyatakan niatnya untuk berpuasa selama satu bulan Ramadhan.

Kedua-dua pengertian ini boleh diterima pakai, namun bagi mendidik anak-anak kecil berlatih berpuasa, lebih wajar jika kaedah yang pertama ini diterapkan kepada mereka. Manakala kaedah yang kedua pula lebih mudah dan meringankan Seseorang yang akan mengerjakan ibadat puasa selama sebulan Ramadhan, memadai jika menyatakan niat puasanya sekali pada malam pertama Ramadhan. Jika niatnya dinyatakan setiap malam, maka hal ini dikategorikan sebagai sunat dan tidak mendatangkan sebarang kemudaratan.

Selamat Berpuasa dan wassalam.

AYAT-AYAT CINTA

Wednesday, March 10, 2010

1. Semua orang ada jodoh atau pasangan yang menanti dan biasanya ia berada tidak jauh dari anda. Jarang orang bertemu dengan jodoh yang berada jauh darinya.


2. Jodoh itu ketentuan Allah dan kita wajib berusaha. Doa, usaha yang betul dan bersungguh-sungguh disertai dengan tawakkal, insyallah akan menemukan anda dengan pasangan anda.


3. Ramai orang masih belum bertemu jodoh kerana mudah patah semangat. Teruskan usaha sehingga anda bertemu jodoh.


4. Seimbangkan hidup anda dengan sempurna agar diri anda jadi seperti “magnet” yang menarik bakal pasangan anda kepada anda.


5. Daya tarikan yang sebenar berpusat di hati yang murni. Berusahalah untuk mencuci hati anda daripada semua perasaan yang negatif terhadap semua orang di dunia ini.


6. Agar mudah orang sayang, cuci hati dengan jaga ibadah, solat taubat, beristighfar, baca Al-Quran, maafkan orang lain, meminta maaf, bersedekah dan berfikiran positif.


7. Sayangi semua orang di sekitar anda dan anda akan menarik sayang terhadap anda. Jika anda membenci orang, ditakuti bakal pasangan anda akan membenci anda.


8. Orang yang sedang mencari pasangan harus sentiasa bersedia untuk bertemu dengan pasangannya pada bila-bila masa. Justeru, kita perlu sentiasa dalam keadaan yang paling menarik setiap masa. Tanggapan pertama adalah yang terpenting.


9. Untuk lelaki, tarikan pertama ialah pakaiannya. Untuk perempuan, wajah dan bentuk badan menjadi tarikan pertama. Sediakan diri untuk menawan bakal pasangan anda.


10. Buka hati dan minda anda untuk menerima cinta. Cinta boleh berputik pada bila-bila masa. Cinta mudah datang kepada mereka yang sentiasa bersedia untuk menerima cinta.


11. Cinta datang melalui mata lalu turun ke hati. Justeru, perhebatkan hubungan mata secara memandang bakal pasangan dengan penuh kasih sayang.


12. Kita boleh berkomunikasi melalui fikiran. Hantarlah kasih sayang dan hasrat murni anda terhadap pasangan dengan gelombang fikiran ini secara berterusan hingga berjaya.


13. Ramai yang terlepas peluang dan patah hati sebab lewat menyatakan hasrat kepada bakal pasangan. Perkara yang baik

disegerakan (iaitu menyatakan perasaan anda kepada bakal pasangan).


14. Tidak salah untuk orang perempuan memulakan usaha untuk berkenalan. Orang lelaki akan sentiasa merasakan mereka yang memulakan perkenalan walaupun sebenarnya orang perempuan yang mulakan.


15. Berkomunikasi dengan mesra dan bersemangat menggunakan lidah, mata, hati dan bahasa badan.Beri tumpuan kepada minat dan perasaannya Elakkan bercakap sambil lewa atau kurang sopan terhadap bakal pasangan.


16. Berbual dengan pasangan mengenai apa yang dia suka. . Elakkan sibuk memberi tumpuan kepada diri sendiri.


17. Layan bakal pasangan dengan mesra seperti kawan lama walaupun baru berkenalan. Bentuk suasana keintiman dengan segera agar bakal pasangan rasa selesa.


18. Makin mudah kita menceritakan hal peribadi yang munasabah kepada bakal pasangan, semakin mudah dia menceritakan hal dirinya kepada kita.


19. Berdoa dan latih diri agar kita pandai mendampingi orang lain dan seronok untuk didampingi oleh orang lain. Buang perangai yang menyebabkan orang benci kepada kita.


20. Beri sayang untuk mendapat sayang. Orang yang masih ada perasaan benci terhadap sebarang orang boleh menyebabkan bakal pasangan benci atau tidak tertarik kepada kita. Justeru buang semua benci.


21. Untuk wanita, jangan jual mahal terhadap bakal pasangan. Tetapi, nyatakan dengan hikmah kepadanya yang anda amat sukar untuk berkenalan dengan lelaki lain.


22. Kebanyakan lelaki mudah tertarik kepada perempuan yang simple, tidak materialistik, mudah berterima kasih dan redha dengan setiap pemberian lelaki tersebut.


23. Orang perempuan mudah tertarik kepada lelaki yang memberi perhatian, penghargaan dan penghormatan kepada mereka. Justeru, orang lelaki janganlah terlalu jimat atau kedekut.


24. Orang lelaki perlu belajar mengenal kerenah orang perempuan. perasaan, pemikiran, kehendak, keperluan, kesukaan dan kebenciannya.


25. Elakkan memberi tumpuan kepada kelemahan dan kesilapan kecil yang ada pada bakal pasangan. Jangan sesekali mengutuk atau memalukan bakal pasangan.


26. Senyuman ikhlas, wajah yang menawan dan bahasa badan yang penuh kemesraan akan menambat lelaki terhadap wanita.


27. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang ada persamaan dan ada perbezaan sifat, tindakan dan minat. Terlalu banyak persamaan membosankan. Banyak sangat perbezaan menyesakkan.


28. Orang mudah tertarik kepada bakal pasangan yang ada sikap dan sifat yang saling mengimbangi dan melengkapkan sikap dan sifatnya.


29. Walaupun belum kenal rapat dengan bakal pasangan, nyatakan yang anda sering merasa atau berfikir seperti yang dia rasa atau fikir. Keserasian adalah tarikan.


30. Perempuan membentuk hubungan dengan berbual dan bercakap. Lelaki bentuk hubungan dengan melakukan sesuatu kegiatan secara bersama.


31. Orang mudah tertawan kepada bakal pasangan yang mempunyai persamaan daripada berbagai segi seperti kefahaman politik, aktiviti keagamaan, sikap terhadap harta, wang dan hobi.


32. Dua orang yang amat banyak perbezaan boleh serasi antara satu sama lain jika mempunyai satu atau dua persamaan yang mendalam seperti suka kepada kucing, suka melancong atau suka ramai anak.


33. Tindakan yang serentak akan menarik bakal pasangan terhadap anda. Contohnya, serentak berpaling, serentak angkat gelas, serentak berdiri, serentak nak ke tandas.


34. Tawan hati bakal pasangan dengan pamerkan emosi yang sama terhadap sesuatu kejadian atau peristiwa – sama-sama gembira, sedih, terperanjat, benci, simpati dan sebagainya.


35. Dua insan mudah serasi jika mempunyai pentafsiran yang sama mengenai hubungan – tahap keakraban, kebebasan, kebergantungan, pemberian, pengorbanan dan sebagainya.


36. Kenalpasti ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri yang disukai oleh bakal pasangan anda. Bentuk ciri-ciri ini dalam diri anda dan pamerkan kepadanya yang anda mempunyai ciri-ciri tersebut.


37. Semua orang mencari cinta sejati tanpa syarat. Bakal pasangan anda akan tertarik kepada anda jika anda mengasihinya bukan kerana wajah, harta, keturunan atau glamornya.


38. Bakal pasangan akan tertawan kepada anda jika anda dapat bantu mengukuhkan imej dirinya, rangsang semangatnya dan pupuk keyakinan dirinya.


39. Keikhlasan amat penting dalam memuji atau memotivasi bakal pasangan. Jika kita didapati bohong, dia akan terus menjauhkan diri daripada kita.


40. Pujian yang berhikmah dan ikhlas bertindak sebagai magnet yang menarik anda kepada bakal pasangan. Pujian daripada kawan baru lebih bermakna dan berkesan berbanding pujian daripada kawan lama.


41. Ulang sebut perkataan, ayat atau slogan yang digemari bakal

pasangan anda. Ini menyebabkan dia rasa istimewa dan dihargai dan akan tertawan kepada anda.


42. Kenalpasti keistimewaan bakal pasangan anda yang orang lain tidak nampak. Sampaikan kehebatan ini dengan bersemangat dan dia akan mudah tertawan kepada anda.


43. Untuk bakal pasangan yang popular dan sering dipuji , cari pujian yang original untuk menambat hatinya. Untuk orang yang tidak popular, sebarang pujian amat dialukan dan dihargai.


44. Beri penghargaan serta merta kepada setiap pencapaian atau kejayaan bakal pasangan. Ini membelai dan melembutkan hatinya terhadap anda.


45. Jika bakal pasangan memuji anda, pamerkan keseronokan anda dengan senyuman dan ucapan terima kasih dan bersyukur. Dia akan rasa dihargai.


46. Cari keunikan, kelucuan atau ‘kegilaan’ bakal pasangan anda. Nyatakan yang anda suka kepadanya sebab keunikan tersebut. Ini buat dia rasa istimewa.


47. Ramai pasangan sengsara bila isteri terlalu cantik atau suami terlalu handsome. Justeru, cari bakal pasangan yang setara dan sepadan dengan kita.


48. Orang yang merasa dirinya hodoh sukar untuk mendapat pasangan. Carilah kecantikan yang ada pada anda dan bentuk keyakinan diri. Hati yang suci dan keyakinan yang tinggi menyerlahkan kecantikan anda.


49. Wanita mudah tertawan kepada lelaki yang gentleman – bersopan santun, suka membantu, menghormati wanita, berani dan yakin diri.


50. Untuk jadi lebih menawan, *berterusan belajar, *perbaiki perangai dan *peribadi, baiki kemahiran komunikasi, murnikan hati, *pemaaf dan sentiasa bersangka baik.


51. Lelaki harus mempamerkan sifat kelelakiannya di samping memasukkan sifat perempuan dalam dirinya seperti lebih prihatin, memahami emosi , timbang rasa, dan gunakan gerak batin.


52. Perempuan harus mempamerkan sifat kewanitaan disamping menghayati sifat lelaki seperti minat dalam politik, sukan, memancing,

dan aktiviti macho yang lain. Bertindak bijak tapi, jangan terlalu bijak.


53. Untuk menambat hati wanita, kerap bertanya tentang perasaannya, aktiviti yang dijalankannya, kegemarannya, kebenciannya atau sebarang perkara yang berkaitan dengan emosi.


54. Sebelum benar-benar rapat, orang perempuan harus elakkan diri dari bertanya bakal pasangan mengenai perasaannya mengenai sesuatu perkara, peristiwa atau situasi.


55. Orang lelaki amat pantang bila bakal pasangan menempelak atau menunjukkan kesilapan atau kebodohan lelaki tersebut. Ini cara terbaik memutuskan hubungan.


56. Orang perempuan mudah tertawan kepada lelaki yang boleh mengaku salah, meminta maaf, meminta bantuan, bertolak ansur, pandai mendengar, bersabar dan lemah lembut terhadap wanita.


57. Bila bercakap dengan lelaki, orang perempuan harus fokus kepada fakta dan sampaikan secara ringkas. Penjelasan yang berjela-jela dan memasukkan unsur perasaan akan membunuh minat lelaki terhadapnya.


58. Jika orang perempuan marah, pujuklah dengan kasih sayang. Tanya kenapa dia marah, dengari dengan teliti dan jangan komen atau cuba beri nasihat. Orang perempuan mudah sayang pada lelaki yang pandai mendengar dan sensitif kepada perasaannya.


59. Jika lelaki marah, jangan sibuk nak tanya kenapa dia marah. Pamerkan kasih sayang dan bentuk suasana yang tenang. Doakan dia dan beri masa untuk dia merawat dirinya sendiri.


60. Fahami bahawa orang lelaki bercakap secara terus terang, ringkas dan objektif. Orang perempuan sering bercakap secara berlapik, terperinci dan banyak yang tersirat

SUNNAH RASUL

Thursday, February 18, 2010

3 golongan orang yang mengamalkan sunnah


Golongan orang yang takut : golongan ini mengamalkan sunnah rasulullah kerana sekiranya mereka tidak mengamalkan sunnah, mereka akan khuatir Nabi tidak mengaku ummat. Atau mereka mengamalkan sunnah kerana mengikut kata-kata orang lain contohnya “ wahai fulan sekiranya engkau tidak berpoligami engkau tidak akan dapat syafaat rasulullah “.


Golongan orang yang ingin dapat pahala : mereka ini ialah golongan yang suka mengamalkan sunnah rasul kerana ingin dapat pahala semata-mata. Bagi mereka, pahala itu sangat menggembirakan hati mereka. Bahkan sekiranya mereka tidak mengamalkan sunnah mereka merasa rugi. Oleh itu setiap perkara yang nabi buat, mereka akan mengamalkannya dengan bersungguh-sungguh.


Golongan yang cintakan Nabi : mereka ini adalah golongan yang sangat fanatik dan taksub dengan kehidupan nabi. Setiap perkara yang nabi sampaikan, ucapkan, buat dan perkara yang nabi diamkan, mereka akan amalkan dengan bersungguh-sungguh. Niat mereka melakukan sunnah nabi bukan sekadar ingin dapatkan pahala, tetapi ingin menunujukkan rasa cinta mereka terhadap kekasih allah itu. Apa yang mereka harapkan adalah redha rasul terhadap diri mereka. Mereka rasa bertuah kerana menjadi ummat nabi di akhir zaman.


Persoalan kita sekarang, di manakah kedudukan kita. Adakah kita dari golongan yang pertama, kedua, atau ketiga? oleh yang demikian, sebelum beramal tentukan niat kita. Adakah kita beramal sunnah rasul kerana perasaan takut, atau kerana inginkan pahala yang banyak atau kerana kita cintakan rasul. Ingatlah melahirkan rasa cinta kita kepada nabi dan rasul adalah lebih utama. Jasa baginda kepada umat akhir zaman ini sangat banyak. Hinggakan sebelum wafatnya, baginda sangat mengingati kita dengan perkataan "UMMATI" 3x.


Ingatlah juga bahawa ROH baginda sentiasa bersama-sama kita. Berselawatlah kepada baginda sebagai tanda rindu dan cinta kita kepada bagin Nabi Muhammad S.A.W.

FALSAFAH SOLAT

Wednesday, January 6, 2010


Solat adalah tiang agama , tanpanya runtuhnya agama seseorang malah Nabi pernah bersabda : ertinya " sesungguhnya sempadan di antara seseorang dengan kekafiran adalah meninggalkan solat" ( Hadith Shohih Riwayat Muslim ) , manakala dalam sebuah hadith lain ertinya : " Bukti perjanjian antara kita (Islam) dan kamu (Umat Islam) adalah Solat, barangsiapa yang meninggalkannya maka ia telah jatuh kafir" (Riwayat Abu Daud, Tirmizi,Al-Hakim, Hadith Sohih menurut Ibn Hibban, An-Nasaie dan al-‘Iraqi )

Ia juga adalah jenis ibadah khusus yang terhebat kesannya dalam diri seseorang dan merupakan ibadah khusus yang paling dapat menghampirkan diri seseorang dengan Allah SWT. Terdapat begitu banyak ayat yang menyatakan perihal solat seperti Firman Allah SWT ertinya : "Sesunguhnya solat adalah ketetapan buat orang Mukmin menurut waktunya" (An-Nisa: 103 ), Bukan setakat itu sahaja, malah Allah SWT juga telah menetapkan bahawa tanda sesuatu solat itu diterima adalah dengan melihat kepada kesannya dalam diri individu sebagaimana Firman Allah SWT ertinya : "Sesungguhnya dengan melaksanakan solat itu, dapat mencegah sesorang dari melakukan perkara yang keji dan mungkar". ( al-‘Ankabut : 45 )

Maka, ingin ditegaskan di sini, bahawa solat yang mampu melahirkan kesan dan tanda yang dikehendaki oleh Allah SWT tadi, hanyalah solat yang sempurna dihayati sepenuhnya. Solat yang tepat rukun dan syarat serta rukun hatinya, pasti dapat mengelakkan seseorang dari lembah maksiat. Tetapi hari ini, mengapa ramai juga kelihatan individu yang bersolat masih lagi melakukan maksiat? Jawapannya adalah kerana solat yang didirikan tidak dibuat dalam bentuk dan kaedah yang sempurna. Akhirnya solat itu gagal mendidik ruh walapun kelihatan di mata kasar menepati rukun zahirnya. Firman Allah SWT : " Telah berjayalah orang mukmin yang khushu' di dalam solatnya" ( Al-Mukminun : 1) , Nabi juga bersabda ertinya : " Allah tidak melihat kepada solat seseorang yang tidak hadir hati seseorang dengan badannya" ( Hadith Mursal )

Nabi SAW menegaskan "Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat" .Justeru, beruntunglah sesiapa yang memperelokkan solatnya dengan didasari ilmu dan kekhusyu'kan hati. Benar ia adalah sesuatu yang amat sukar di akhir zaman ini. Maka menyedari dan menginsafi kepentingan ilmu dalam menyempurnakan ibadah terbesar ini. Suatu usaha khusus yang bersungguh untuk memperdalami selok belok ilmu tentang solat adalah amat diperlukan.

BACALAH SEBAGAI PANDUAN

 
 
 

PENGUNJUNG BLOG

JOM UNDI (",)