MANDI JUNUB

Sunday, November 15, 2009

Mandi wajib nampak mudah. Namun perkara ini sangat penting, kerana ia menjadi asas kepada keberkesanan dalam amalan kita.

Mandi wajib merupakan perkataan yang mudah disebut, tetapi jangan terkejut jika dikatakan ramai umat Islam di dalam masyarakat kita yang tidak sah mandi wajibnya kerana tidak melakukannya dengan betul.

Untuk melakukan mandi wajib yang betul, seseorang itu tidak boleh melakukannya dengan hanya mandi secara berdiri atau duduk mencangkung sahaja. Sebaliknya, ia mesti dilakukan dalam kedua-dua keadaan bagi membolehkan seseorang itu meratakan air ke seluruh anggota badannya yang zahir.

Penolong Pengarah Bahagian Dakwah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Uztaz Haji Mat Jais Kamos, 49, menegaskan, bagaimanapun, berdasarkan pengalamannya sebagai bekas kadi di Pejabat Agama Islam Gombak Timur dan penceramah, didapati ramai di kalangan umat Islam yang tidak mengetahui perkara ini.

“Akibatnya, mandi wajibnya menjadi tidak sah kerana tidak memenuhi salah satu rukun mandi wajib iaitu meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir. Apabila mandi wajib tidak sah, ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu juga turut tidak sah. Itulah akibatnya jika tidak melakukan mandi wajib dengan betul,” tegas beliau ketika ditemui di rumahnya di Taman Sri Keramat Kuala Lumpur.

Mandi wajib yang juga sebagai mandi junub atau janabah tidak boleh dipandang ringan oleh umat islam. Setiap orang yang melakukannya mestilah mengetahui dan memenuhi rukun-rukunnya. Jika tidak mandi wajib seseorang itu tidak akan sah.

Rukun mandi wajib ada 3 perkara. Pertama, niat. Kedua, menghilangkan najis di badan. Ketiga, meratakan air keseluruh anggota badan yang zahir.

Niat mandi wajib: “Sahaja aku mengangkat hadas besar kerana Allah Taala.”

Atau “Sahaja aku mandi wajib kerana Allah Taala.”

Niat itu di dalam hati dan ia hendaklah disertakan ketika air sampai ke mana-mana bahagian anggota badan.

Bagi perempuan yang habis haid, niat mandi wajib ialah: “Sahaja aku mengangkat hadas haid kerana Allah Taala.” Manakala bagi perempuan yang habis nifas, niat mandi wajibnya ialah: ” Sahaja aku mengangkat hadas nifas kerana Allah Taala”.

Mengenai rukun mandi wajib yang kedua, iaitu menghilangkan najis yang ada pada badan, menurut Ustaz Haji Mat Jais, menurut Imam Nawawi, jika kita ada najis di badan, najis itu boleh dibasuh serentak dengan mandi wajib. Ertinya membasuh najis dengan mandi itu boleh disekalikan.

Sementara rukun mandi wajib yang ketiga, iaitu meratakan air ke seluruh anggota badan yang zahir, meliputi kulit, rambut dan bulu yang ada di badan, sama ada bulu yang jarang atau lebat. Jika rambut seseorang itu ditocang atau disanggul, sekiranya air tidak dapat sampai ke dalamnya, tocang atau sanggul itu wajiblah dibuka. Bulu dalam lubang hidung pula, tidak wajib dibasuh kerana dianggap batin. Tetapi sekiranya bulu di dalam hidung itu bernajis, ia wajiblah dibasuh.

Mengenai kuku pula, jika di dalam kuku ada kotoran yang boleh menghalang air sampai ke badan khususnya di bahagian bawah kuku, kotoran itu wajiblah dibuang. Membuang kotoran di dalam kuku itu pula boleh dilakukan ketika sedang mandi.

Tentang rambut yang diwarnakan pula selain inai, inilah yang rumitnya. Sebenarnya jika rambut seseorang itu diwarnakan dengan pewarna selain inai, mandi wajib seseorang itu tidak sah. Oleh itu, seseorang yang mewarnakan rambutnya dengan pewarna selain inai, jika dia hendak mandi wajib, dia mestilah membuang pewarna pada rambutnya terlebih dahulu. Tetapi untuk membuang pewarna itu pula bagaimana?

Inilah yang rumitnya. Sedangkan pewarna pada rambut itu sebenarnya tidak boleh dibuang begitu mudah.

Yang menyebabkan mandi wajib orang yang menggunakan pewarna pada rambutnya tidak sah kerana pewarna itu akan menyalut rambutnya yang menghalang air sampai ke rambut. Ini berbeza dengan inai. Inai sebenarnya akan meresap ke rambut, tetapi pewarna pula akan menyalut rambut menyebabkan air terhalang untuk sampai ke rambut.

Tetapi dalam hal ini, jangan pula ada yang salah faham. Sebenarnya pewarna itu jika dikeluarkan sijil halal oleh JAKIM dan sekiranya pewarna itu tidak bernajis, bukanlah bermaksud menjadi tidak sah. Dalam hal ini, sukalah saya menyatakan bahawa sembahyang dan mandi wajib itu berbeza. Jadi, mestilah dipandang dari sudut yg berbeza.

Dalam hal ini juga, sukalah saya menyatakan, huraian mengenai rukun mandi wajib seperti yang telah saya nyatakan ini adalah merupakan perbezaan sah atau tidak mandi wajib. Jadi, ia perlulah diberikan perhatian yang lebih oleh umat Islam.

Mengenai sebab-sebab seseorang itu wajib mandi wajib pula, Ustaz Haji Mat Jais menegaskan, sebab-sebabnya terdiri daripada 6 sebab. 3 sebab melibatkan lelaki dan perempuan iaitu kerana bersetubuh walaupun tidak keluar air mani, keluar air mani dan mati. Manakala 3 sebab lagi hanya melibatkan kaum perempuan sahaja, iaitu keluar darah haid, nifas dan melahirkan anak (wiladah).

Mandi wajib boleh dilakukan di mana-mana dengan menggunakan air mutlak sama ada air telaga, air paip, sungai, laut dan tasik.

Bagi pasangan suami isteri yang bersetubuh pula, mereka tidak semestinya mandi selepas bersetubuh, tetapi diwajibkan mandi ketika ingin beribadat. Selepas bersetubuh pula, jika ia dilakukan pada waktu malam, jika tidak mahu mandi wajib, seelok-eloknya ambillah wuduk sebelum tidur itu adalah sunat, manakala tidak berwuduk sebelum tidur adalah makruh.

Tips Tambahan

  1. Agar wajah selalu segar, berseri-seri dan cantik, cucilah sekurang-kurangnya 5 kali sehari dengan air wuduk. Jangan dikeringkan, biarkan menitis dan kering sendiri. Lalu ambillah sajadah, solat, berzikir, dan berdoa.
  2. Untuk menghilangkan stress, perbanyaklah ‘olahraga’. Cukup dengan memperbanyakkan solat. Ketika solat, kita menggerakkan seluruh tubuh. Lalu berkonsultasilah pada Allah SWT dengan zikir dan doa.
  3. Untuk pelembab, agar awet muda, gunakanlah senyuman. Tidak hanya di bibir tapi juga di hati. Jangan lupa bisikkan ‘kata kunci’, “Allahuma Kama Hassanta Khalqii Fahassin Khuluqii” (Ya Allah sebagaimana engkau telah memperindah kejadianku, maka perindah pula akhlaqku) – (HR Ahmad) – Doa tengok cermin.
  4. Untuk punya bibir cantik, bisikkan kalimat-kalimat Allah, tidak berbohong atau menyakiti hati orang lain, tidak menyombongkan diri atau takbur.
  5. Agar tubuh langsing, mulus, dietlah dengan teratur, puasa seminggu 2 kali, Isnin dan Khamis. Jika mampu, lakukan puasa Nabi Daud a.s. – selang satu hari. Makanlah makanan halal, perbanyak sayuran, buah-buahan, dan air suam.
  6. Untuk mengembangkan diri, sebarkan salam dan sapaan. Dengan demikian kita akan banyak dikenal dan disayangi.

Rahsia solat (anggaplah tazkirah bagi yang sudah tahu)

  1. Niat sembahyang memelihara taubat kita dari dunia dan akhirat.
  2. Berdiri tegak fadilatnya ketika mati dapat meluaskan tempat kita di dalam kubur.
  3. Takbiratul Ihram fadilatnya sebagai pelita yang menerangi kita di dalam kubur.
  4. Fatihah sebagai pakaian yang indah-indah di dalam kubur.
  5. Rukuk sebagai tikar kita di dalam kubur.
  6. Iktidal akan memberi minuman air dari telaga al-kauthar ketika di dalam kubur.
  7. Sujud memagar kita ketika menyeberangi Siratul Mustaqim.
  8. Duduk di antara 2 sujud akan menaung panji-panji nabi kita di dalam kubur.
  9. Duduk tahiyat awal menjadi kenderaan ketika kita di padang Mahsyar.
  10. Tahiyat akhir sebagai penjawab bagi soalan yang dikemukakan oleh Mungkar & Nakir di dalam kubur.
  11. Selawat nabi sebagai pendinding api neraka di dalam kubur.
  12. Salam memelihara kita di dalam kubur.
  13. Tertib fadilatnya pertemuan kita dengan Allah s.w.t.

Senarai di atas dikatakan salah satu sebab mengapa orang Yahudi tidak sukakan angka 13 dan juga hari Jumaat. Itulah sebab mengapa mereka mencipta cerita yang begitu seram sekali iaitu “Friday the 13th” jika ada di kalangan anda yang perasan!”

Sekian, kalau ada salah dan silap, tolong tunjukkan. Wallahu a’lam.

AMALAN SEHARIAN YANG PATUT KITA BUAT.

Wednesday, November 11, 2009

1. Sesiapa yang berwuduk saat ingin tidur dan meminta supaya ALLAH berikan kebaikan dunia dan akhirat pasti akan di kabulkan - Tirmizi. Sunat tidur dalam keadaan berwuduk.

2. Sesiapa yang berselawat tidak kiralah banyak mana hitunganya setiap hari akan dapat keberkatan dalam apa jua dengan syarat ia berusaha mencari keredhaanNya.

3. Sesiapa yang berselawat 41 kali sehari, insyaALLAH, akan dihindarkan daripada sifat tercela seperti hasad dengki, riak dsbnya dalam dirinya.

4. Berselawat 33 kali sehari dapat menjernihkan hati, mudah memahami akan sesuatu ilmu yang diajarkan, di samping beroleh ketenangan fikiran.

5. ALLAH akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan berselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu.

6. Sewaktu menghadapi hidangan, Nabi membiasakan diri dengan mengambil makanan yang terdekat, kemudian baru di ambil hidangan yang lainnya sebagai simbolik kesopanan.

7. Amalkan membaca selawat sebanyak 1000 kali sehari, insyaALLAH akan di kurniakan kebijaksanaan pemikiran. Di samping itu berusahalah untuk menerokai pelbagai ilmu.

8. Sesiapa yang berniat mandi (untuk solat jumaat ) kemudian pakai pakaian terbaik & wangian lalu solat jumaat, dosanya akan diampun hingga jumaat berikutnya-Ahmad.

9. Sesiapa yang mengamalkan berselawat 11 kali tiap hari, dengan izin ALLAH dirinya akan lebih dihargai oleh orang lain.

10. Uthman bin Affan riwayatkan bahawa Nabi SAW apabila berwuduk, beliau membasahi janggutnya-Tirmizi

11. Nabi tidak pernah mencela makanan. Jika baginda suka, dia makan dan sebaliknya beliau tinggalkan-Bukhari. Apatah lagi jika makanan itu pemberian orang lain.

12. Sahabat meriwayatkan: Aku lihat Nabi SAW makan dengan 3 jari ( ibu jari telunjuk & tengah )-Muslim. Jarang sekali beliau makan dengan 4 @ 5 jari kecuali ada keperluan

13. Menurut Sayyid Ahmad dahlan, sesiapa berselawat walau sekali pada malam jumaat, saat mautnya kelak akan dipermudahkan ALLAH seperti yang dihadapi oleh para nabi

14. Setiap penyakit ada penawarnya. Bacalah selawat tujuh kali pada air dan minum. InsyaALLAH, perut yang sakit atau memulas akan sembuh

15. Perbaharui wuduk tiap kali bersolat krn padanya terdapat banyak fadhilat. Hadith: Sesiapa yang berwuduk dalam keadaan suci, ALLAH catatkan 10 kebaikan baginya-Abu Dawud.

16. Sesiapa yang mengamalkan membaca selawat tiga kali setiap selepas solat lima waktu akan dihilangkan kebuntuan fikiran dalam menghadapi apa jua masalah

17. Nabi SAW sering menghadap kekanan sedikit setelah solat berjemaah supaya makmum dapat melihat wajahnya. Sebaiknya imam berzikir dan doa seketika bersama makmum

18. Allah akan hapuskan dosa-dosa kecil dengan kita mengamalkan beselawat sebanyak 11 kali tiap kali selesai menunaikan solat fardu

19. Nabi tak makan sambil bersandar-Bukhari. Ertinya, baginda makan dengan duduk condong sedikit ke hadapan bagi elakkan dirinya terlalu kenyang & mudahkan penghadaman

20. Menurut Syihab Ahmad, sesiapa berselawat tiga kali tiap selesai solat subuh, Maghrib dan isyak, ALLAH akan menghindarkannya drp sebarang bencana

21. Nabi sering beristinsyaq air kedalam hidung dan menghembuskannya. Selain membersihkan, ia juga mengelakkan sebarang penyakit yang berkaitan dengan hidung

22. Setelah bersolat Nabi memohon ampun ( astagfirullahalazii m) tiga kali-Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari

23. Sesiapa yang amalkan berselawat sebanyak 1000 kali tiap hari, ALLAH akan memeliharanya daripada sebarang ancaman musuh serta bahaya fitnah

24. Apabila Nabi tidur, ia dahulukan mengiring sebelah kanan - Bukhari. Dari segi kesihatan, cara berkenaan baik untuk jantung (yang berada di kiri badan) mengepam darah

25. Amalan berselawat secara teratur setiap hari mampu membersihkan kekeruhan jiwa, dipermudahkan ALLAH segala urusan dan mendapat keampunan daripadaNYA

26. Tika Nabi tidur, ia membaca surah Al-Ikhlas,Al- Falaq dan An-Naas lalu meniup telapak tangan serta menyapu keseluruh tubuh)mohon perlindunganNYA) - Bukhari

27. Membaca selawat 10 kali pada setiap waktu pagi dan petang akan memperolehi keredhaan serta dijauhkan diri daripada mendapat kemurkaan ALLAH

28. Wuduk dahulu jika ingin tidur sekalipun dalam keadaan junub. Nabi menyarankan, cukup dengan bersihkan kemaluan dan berwuduk tanpa perlu mandi wajib jika ingin tidur

29. Munurut As-Shawi, sesiapa yang membaca selawat secara rutin, akan terpelihara hatinya daripada gangguan serta tipudaya syaitan yang melalaikan

30. Silangkan kaki jika tidur di masjid. Hadith: Sahabat melihat Nabi berbaring di masjid dgn satu kakinya atas kaki yang lain ( krn bimbang terdedah aurat ) - Bukhari

31. Sesiapa yang membaca selawat sebanyak tujuh kali selama tujuh Jumaat berturut-turut, ia bakal mendapat syafaat (pertolongan) daripada baginda SAW

32. Adakalanya Nabi SAW amat menyukai doa-doa yang ringkas (mudah ) - Abu dawud. Baginda mementingkan kualiti doa itu sendiri dengan sedikit tetapi maknanya yang menyeluruh

33. Menurut Al-Hafiz Dimyati, sesiapa yang berhajat menemui Nabi SAW dalam mimpinya maka amalkan membaca selawat sebanyak 70 kali sehari

34. Setelah bersolat Nabi SAW mohon ampun ( astagfirullahalazii m ) tiga kali - Muslim. Dalam riwayat yang lain, Nabi adakalanya beristighfar 75 kali sehari

35. Nabi seorang yang berpsikologi dalam memberi nasihat. Nabi memilih waktu yang sesuai untuk menasihati sahabat supaya mereka tidak bosan (atau tersinggung) - bukhari

36. Ada riwayat yang menyatakan bahawa amalan berselawat 80 kali tiap selepas solat asar pada hari jumaat, insyaALLAH akan dihapuskan dosa-dosa kecil seseorang

37. Menutup mulut dan rendahkan suara tika bersin. Hadith: Apabila Nabi bersin, beliau letakkan tangan atau pakaiannya dimulut ( kerana dibimbangi terpercik ) - Abu Dawud

38. Jiwa yang gelisah dapat ditenangkan dengan zikir, termasuklah berselawat sekerap yang mungkin kerana ALLAH itu Maha Luas rahmatNya

39. Sabda Nabi SAW: Barangsiapa yang berselawat kepadaku sebanyak 100 kali pada hari jumaat, maka ia akan datang pada hari kiamat dengan keadaan bercahaya - Abu Naim

40. Nabi tidak pernah menolak hadiah. Hadith: nabi selalu terima hadiah & amat menghargainya - Bukhari

41. Sesiapa yang sering mengamalkan berselawat pada setiap hari, ALLAH akan bukakan pintu rahmat dan rezeki yang tidak disangka-sangka baginya

42. Selalu memilih yang lebih mudah. Hadith: Mudahkan sesuatu & jangan kamu sukarkannya - Muttafaq Alaih

43. Berdiri apabila melihat iringan jenazah. Hadith: Apabila kamu sekalian melihat jenazah ( yang diusung ), maka berdirilah ( sbg tanda penghormatan ) - Muttafaq Alaih

44. Ulamak berpendapat, sesiapa yang amalkan selawat saban hari tak kira berapa hitungannya, InsyaALLAH dihindarkan daripada taun & wabak penyakit berbahaya yang lain

45. Bersujud syukur jika dapat khabar gembira. Nabi sering melakukannya ketikaberoleh khabar yang menyenangkan sebagai tanda syukur hamba terhadap ALLAH - Abu dawud

46. Membaca selawat 1000 kali selepas Solat Hajat dua rakaat mampu meenghilangkan keresahan, rasa dukacita serta dikabulkan ALLAH akan hajatnya

47. Beri salam hingga tiga kali sahaja. Bahawasanya Nabi ( apabila mendatangi rumah sahabat ) beri salam hingga 3 kali - Bukhari. Jika salamnya tak berjawab, beliau beredar

48. Menurut para ulamak, sesiapa yang inginkan saat kematiannya dalam kesudahan yang baik, maka berselawatlah seban yak 10 kali setiap selesai solat Maghrib

49. Melakukan pekerjaan rumah. Hadith: Bantuan terhadap isterimu itu adalah sedekah-Ad-Dailami

50. Para ulamak berpendapat, ALLAH sempurnakan hajat yang baik dengan senantiasa berselawat 40 hingga 100 kali setiap hari, di ikuti dengan usaha yang berterusan.

HUKUM AZAN DAN IQAMAH

Tuesday, November 3, 2009

Azan dan iqamah kerana sembahyang itu hanya disyariatkan untuk sembahyang-sembahyang fardhu sahaja iaitu sembahyang lima waktu.

Hukum azan dan iqamah menurut pendapat yang ashah adalah sunat, sunat ‘ain bagi sembahyang perseorangan dan sunat kifayah bagi sembahyang jemaah. Sepertimana sunat membaca bismillah ketika hendak makan dan ketika hendak melakukan persetubuhan, sunat kifayah melakukan korban bagi ahli rumah, memberi salam, mendoakan orang yang bersin dan apa yang dilakukan daripada perkara-perkara sunat terhadap mayat. (I‘anah ath-Thalibin: 1/367)

Manakala sembahyang-sembahyang yang lain adalah tidak disunatkan azan dan iqamah sama ada sembahyang sunat yang disunatkan berjemaah seperti sembahyang ‘aidilfitri, ‘aidiladha, gerhana matahari atau bulan dan sembahyang meminta hujan, ataupun tidak disunatkan pada sembahyang itu berjemaah seperti sembahyang dhuha dan sebagainya. Selain daripada itu azan dan iqamah juga tidak disunatkan bagi sembahyang nazar dan jenazah. (Al-Majmu‘: 3/83)

Syarat-Syarat Azan Dan Iqamah

Terdapat beberapa perkara yang disyaratkan di dalam azan dan iqamah, iaitu:

1. Tertib. Hendaklah azan dan iqamah itu dilaungkan dengan mengikut susunan ungkapannya sebagaimana yang diajarkan di dalam hadis-hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika dilaungkan azan dan iqamah itu tidak menurut tertib, maka ianya boleh membawa kepada mempermain-mainkan dan hilang dasarnya sebagai al-i‘lam (pemberitahuan).

Adapun jika tertinggal sebahagian kalimahnya, maka hendaklah dia kembali kepada yang tertinggal itu dan mengulangi semula yang selepasnya. Sebagai contoh, jika tertinggal sedang dia sudah melaungkan , maka hendaklah dia melaungkan kembali yang tertinggal itu dan mengulangi semula yang telah dilaungkannya iaitu . Namun jika dia mengulangi semula semuanya, itulah yang lebih baik. (Al-Majmu‘:3/121, I‘anah ath-Thalibin: 1/376-377 dan Mughni al-Muhtaj: 1/191)

2. Berturut-turut. Hendaklah ungkapan-ungkapan azan dan iqamah itu dilaungkan secara berturut-turut. Jika diselangi antara ungkapan-ungkapan azan atau iqamah itu dengan percakapan atau diam yang lama, walaupun disebabkan terlupa adalah batal azan atau iqamah tersebut kerana hilang dasarnya sebagai al-i‘lam.

Adapun diam sekejap atau diselangi antara kalimah-kalimahnya itu dengan percakapan yang pendek, tidaklah batal azan atau iqamah tersebut. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam pernah berkata-kata ketika Baginda berkhutbah, oleh yang demikian berkata-kata di dalam azan atau iqamah itu lebih utama lagi dihukumkan tidak batal. Hadis tersebut ialah daripada Jabir bin ‘Abdullah katanya maksudnya :

"Telah datang seorang lelaki, sedang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan khutbah pada hari jumaat, lalu Baginda bersabda: "Adakah engkau sudah sembahyang wahai polan? Dia berkata: "Tidak." Baginda bersabda: "Bangkitlah dan kerjakan dua rakaat sembahyang."

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Mengenai dengan diam; jika berlaku diam tersebut begitu lama sehingga tidak dinamakan lagi ianya sebagai azan atau iqamah, maka yang demikian itu hendaklah diulang semula.

Adapun percakapan bukan kerana adanya maslahah (kepentingan) ketika azan atau iqamah adalah makruh hukumnya.

Jika orang yang azan atau iqamah itu bersin, maka sunat dia bertahmid di dalam hatinya sahaja. Manakala sunat dia melambatkan jawapan salam kepada orang yang memberi salam atau tasymit (doa bagi orang yang mendengar orang lain bersin) selepas dia selesai melaungkan azan atau iqamah. Adapun jika dijawabnya juga salam orang yang memberi salam atau bertasymit atau berkata-kata selain itu, kerana adanya maslahah ketika dia sedang azan atau iqamah, maka tidaklah makruh atas perbuatannya itu, hanya meninggalkan yang sunat. Sebaliknya jika dia ternampak orang buta yang ditakuti akan terjatuh ke dalam perigi umpamanya, adalah wajib dia memberitahu orang buta tersebut.(Al-Majmu‘: 3/121, Mughni al-Muhtaj: 1/191 dan Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 1/470)

Disyaratkan juga agar tidak begitu lama jarak masa antara iqamah dan sembahyang yang akan dikerjakan melainkan jika jarak masa antara keduanya itu disebabkan oleh perkara-perkara yang sunat seperti imam menyuruh makmumnya untuk membetulkan saf. (I‘anah ath-Thalibin: 1/377 dan Fath al-‘Allam: 2/114)

3. Melaungkan dengan suara yang nyaring. Azan dan iqamah untuk mendirikan sembahyang jemaah hendaklah dilaungkan dengan suara yang nyaring, sekurang-kurangnya didengar dengan jelas oleh seorang daripada jemaah tersebut. Ini kerana sembahyang jemaah itu sah dilakukan dengan dua orang sahaja.

Adalah tidak sah jika azan dan iqamah itu dilaungkan dengan suara perlahan sehingga tidak didengar oleh seseorang pun daripada jemaah. Ini kerana telah hilang dasarnya sebagai al-i‘lam. Berlainan halnya dengan tarji‘, hendaklah diucapkan dengan suara perlahan.

Manakala azan dan iqamah bagi orang yang bersembahyang sendirian hendaklah melaungkannya dengan suara perlahan, sekira-kira didengar olehnya sahaja. Ini kerana tujuan azan dan iqamah itu baginya adalah sebagai zikir sahaja bukannya untuk al-i‘lam. (Al-Majmu‘: 3/120 dan Sabil al-Muhtadin: 1/171-172)

4. Masuk waktu sembahyang. Azan dan iqamah itu hendaklah dilaungkan ketika sudah masuk waktu sembahyang fardhu kecuali azan subuh sahaja boleh dilaungkan sebelum masuk waktunya. Adapun waktu iqamah itu ialah ketika hendak menunaikan sembahyang tunai atau qadha.

Menurut Imam as-Syafie Rahimahullah jika sebahagian ungkapan azan - selain azan subuh - dilaungkan sebelum masuk waktunya dan sebahagiannya pula sesudah masuk waktunya, maka tidak sah azan tersebut dan hendaklah diulang semula.

Adapun azan subuh itu sunat dilaungkan sebanyak dua kali, iaitu sebelum dan selepas terbit fajar. Menurut pendapat yang ashah, waktu harus melaungkan azan sebelum waktu subuh itu ialah selepas tengah malam.

Hikmat azan sebelum subuh itu ialah untuk menyedarkan orang yang tidur, orang yang berjunub atau berhadas untuk bersiap sedia lebih awal sebelum masuk waktu sembahyang demi mendapatkan fadhilat awal waktu.

Sementara iqamah bagi semua waktu - subuh atau lainnya - tidak sah dilaungkan sebelum masuk waktu dan sebelum hendak menunaikan sembahyang. Jika dilaungkan iqamah sesudah masuk waktu sembahyang, tetapi sebelum hendak menunaikan sembahyang adalah batal iqamah tersebut jika lama jarak masa antara iqamah dan sembahyang itu. (Al-Majmu‘: 3/95-97, Mughni al-Muhtaj: 1/194 dan I‘anah ath-Thalibin: 1/378)

BACALAH SEBAGAI PANDUAN

 
 
 

PENGUNJUNG BLOG

JOM UNDI (",)