HUKUM AZAN DAN IQAMAH

Tuesday, November 3, 2009

Azan dan iqamah kerana sembahyang itu hanya disyariatkan untuk sembahyang-sembahyang fardhu sahaja iaitu sembahyang lima waktu.

Hukum azan dan iqamah menurut pendapat yang ashah adalah sunat, sunat ‘ain bagi sembahyang perseorangan dan sunat kifayah bagi sembahyang jemaah. Sepertimana sunat membaca bismillah ketika hendak makan dan ketika hendak melakukan persetubuhan, sunat kifayah melakukan korban bagi ahli rumah, memberi salam, mendoakan orang yang bersin dan apa yang dilakukan daripada perkara-perkara sunat terhadap mayat. (I‘anah ath-Thalibin: 1/367)

Manakala sembahyang-sembahyang yang lain adalah tidak disunatkan azan dan iqamah sama ada sembahyang sunat yang disunatkan berjemaah seperti sembahyang ‘aidilfitri, ‘aidiladha, gerhana matahari atau bulan dan sembahyang meminta hujan, ataupun tidak disunatkan pada sembahyang itu berjemaah seperti sembahyang dhuha dan sebagainya. Selain daripada itu azan dan iqamah juga tidak disunatkan bagi sembahyang nazar dan jenazah. (Al-Majmu‘: 3/83)

Syarat-Syarat Azan Dan Iqamah

Terdapat beberapa perkara yang disyaratkan di dalam azan dan iqamah, iaitu:

1. Tertib. Hendaklah azan dan iqamah itu dilaungkan dengan mengikut susunan ungkapannya sebagaimana yang diajarkan di dalam hadis-hadis Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam. Jika dilaungkan azan dan iqamah itu tidak menurut tertib, maka ianya boleh membawa kepada mempermain-mainkan dan hilang dasarnya sebagai al-i‘lam (pemberitahuan).

Adapun jika tertinggal sebahagian kalimahnya, maka hendaklah dia kembali kepada yang tertinggal itu dan mengulangi semula yang selepasnya. Sebagai contoh, jika tertinggal sedang dia sudah melaungkan , maka hendaklah dia melaungkan kembali yang tertinggal itu dan mengulangi semula yang telah dilaungkannya iaitu . Namun jika dia mengulangi semula semuanya, itulah yang lebih baik. (Al-Majmu‘:3/121, I‘anah ath-Thalibin: 1/376-377 dan Mughni al-Muhtaj: 1/191)

2. Berturut-turut. Hendaklah ungkapan-ungkapan azan dan iqamah itu dilaungkan secara berturut-turut. Jika diselangi antara ungkapan-ungkapan azan atau iqamah itu dengan percakapan atau diam yang lama, walaupun disebabkan terlupa adalah batal azan atau iqamah tersebut kerana hilang dasarnya sebagai al-i‘lam.

Adapun diam sekejap atau diselangi antara kalimah-kalimahnya itu dengan percakapan yang pendek, tidaklah batal azan atau iqamah tersebut. Ini kerana Nabi Shallallahu ‘alahi wasallam pernah berkata-kata ketika Baginda berkhutbah, oleh yang demikian berkata-kata di dalam azan atau iqamah itu lebih utama lagi dihukumkan tidak batal. Hadis tersebut ialah daripada Jabir bin ‘Abdullah katanya maksudnya :

"Telah datang seorang lelaki, sedang Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam menyampaikan khutbah pada hari jumaat, lalu Baginda bersabda: "Adakah engkau sudah sembahyang wahai polan? Dia berkata: "Tidak." Baginda bersabda: "Bangkitlah dan kerjakan dua rakaat sembahyang."

(Hadis riwayat al-Bukhari)

Mengenai dengan diam; jika berlaku diam tersebut begitu lama sehingga tidak dinamakan lagi ianya sebagai azan atau iqamah, maka yang demikian itu hendaklah diulang semula.

Adapun percakapan bukan kerana adanya maslahah (kepentingan) ketika azan atau iqamah adalah makruh hukumnya.

Jika orang yang azan atau iqamah itu bersin, maka sunat dia bertahmid di dalam hatinya sahaja. Manakala sunat dia melambatkan jawapan salam kepada orang yang memberi salam atau tasymit (doa bagi orang yang mendengar orang lain bersin) selepas dia selesai melaungkan azan atau iqamah. Adapun jika dijawabnya juga salam orang yang memberi salam atau bertasymit atau berkata-kata selain itu, kerana adanya maslahah ketika dia sedang azan atau iqamah, maka tidaklah makruh atas perbuatannya itu, hanya meninggalkan yang sunat. Sebaliknya jika dia ternampak orang buta yang ditakuti akan terjatuh ke dalam perigi umpamanya, adalah wajib dia memberitahu orang buta tersebut.(Al-Majmu‘: 3/121, Mughni al-Muhtaj: 1/191 dan Hawasyi Tuhfah al-Muhtaj: 1/470)

Disyaratkan juga agar tidak begitu lama jarak masa antara iqamah dan sembahyang yang akan dikerjakan melainkan jika jarak masa antara keduanya itu disebabkan oleh perkara-perkara yang sunat seperti imam menyuruh makmumnya untuk membetulkan saf. (I‘anah ath-Thalibin: 1/377 dan Fath al-‘Allam: 2/114)

3. Melaungkan dengan suara yang nyaring. Azan dan iqamah untuk mendirikan sembahyang jemaah hendaklah dilaungkan dengan suara yang nyaring, sekurang-kurangnya didengar dengan jelas oleh seorang daripada jemaah tersebut. Ini kerana sembahyang jemaah itu sah dilakukan dengan dua orang sahaja.

Adalah tidak sah jika azan dan iqamah itu dilaungkan dengan suara perlahan sehingga tidak didengar oleh seseorang pun daripada jemaah. Ini kerana telah hilang dasarnya sebagai al-i‘lam. Berlainan halnya dengan tarji‘, hendaklah diucapkan dengan suara perlahan.

Manakala azan dan iqamah bagi orang yang bersembahyang sendirian hendaklah melaungkannya dengan suara perlahan, sekira-kira didengar olehnya sahaja. Ini kerana tujuan azan dan iqamah itu baginya adalah sebagai zikir sahaja bukannya untuk al-i‘lam. (Al-Majmu‘: 3/120 dan Sabil al-Muhtadin: 1/171-172)

4. Masuk waktu sembahyang. Azan dan iqamah itu hendaklah dilaungkan ketika sudah masuk waktu sembahyang fardhu kecuali azan subuh sahaja boleh dilaungkan sebelum masuk waktunya. Adapun waktu iqamah itu ialah ketika hendak menunaikan sembahyang tunai atau qadha.

Menurut Imam as-Syafie Rahimahullah jika sebahagian ungkapan azan - selain azan subuh - dilaungkan sebelum masuk waktunya dan sebahagiannya pula sesudah masuk waktunya, maka tidak sah azan tersebut dan hendaklah diulang semula.

Adapun azan subuh itu sunat dilaungkan sebanyak dua kali, iaitu sebelum dan selepas terbit fajar. Menurut pendapat yang ashah, waktu harus melaungkan azan sebelum waktu subuh itu ialah selepas tengah malam.

Hikmat azan sebelum subuh itu ialah untuk menyedarkan orang yang tidur, orang yang berjunub atau berhadas untuk bersiap sedia lebih awal sebelum masuk waktu sembahyang demi mendapatkan fadhilat awal waktu.

Sementara iqamah bagi semua waktu - subuh atau lainnya - tidak sah dilaungkan sebelum masuk waktu dan sebelum hendak menunaikan sembahyang. Jika dilaungkan iqamah sesudah masuk waktu sembahyang, tetapi sebelum hendak menunaikan sembahyang adalah batal iqamah tersebut jika lama jarak masa antara iqamah dan sembahyang itu. (Al-Majmu‘: 3/95-97, Mughni al-Muhtaj: 1/194 dan I‘anah ath-Thalibin: 1/378)

1 comments:

Anonymous said...

apakah hukumnya bila seseorang itu mendengar azan di masjid/musollah tetapi dia tidak mengikuti bersama-sama sembahyang berjemaah.

Post a Comment

BACALAH SEBAGAI PANDUAN

 
 
 

PENGUNJUNG BLOG

JOM UNDI (",)